KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pemisahan Kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara sebagai undang-undang pertama dalam sesi Parlimen yang akan bermula Januari 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata RUU tersebut akan menjadi asas reformasi institusi bagi memastikan wujudnya semak dan imbang lebih telus dalam sistem perundangan negara.
Selain itu, kerajaan turut bersetuju untuk memperkenalkan peruntukan menghadkan tempoh jawatan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan semua jawatan utama perkhidmatan awam, yang menurut beliau, tidak wajar disandang terlalu lama sehingga mencecah puluhan tahun.
“Semua orang ada had tempohnya. Jika diberikan tempoh yang munasabah, pemimpin dan pentadbir mampu melaksanakan tugas dengan baik. Selepas itu, eloklah kita serahkan kepada generasi seterusnya,” katanya ketika berucap di Majlis perhimpunan bulanan YAB Perdana mMnteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan januari & amanat tahun 2026 disini hari ini.
Anwar menambah, prinsip sama akan terpakai kepada jawatan Perdana Menteri, apabila kerajaan bakal membentangkan RUU mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh.
Beliau yang disambut tepukan Ahli Parlimen ketika menyampaikan ucapan berkata, had penggal bukan sekatan, tetapi ruang peralihan kuasa secara teratur demi kelangsungan kepimpinan negara.
Pada masa sama, kerajaan turut menyiapkan RUU Ombudsman, yang digerakkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, bagi mewujudkan mekanisme kebertanggungjawaban awam yang boleh disoal rakyat tanpa kecuali – dari peringkat tertinggi sehingga bawahan.
Perdana Menteri menjelaskan, institusi Ombudsman mempunyai asas sejarah dalam tradisi pentadbiran Islam, yang pernah dihurai oleh tokoh ilmuwan seperti Ibn Taimiyah, berteraskan akauntabiliti dan integriti tugas awam.
RUU itu akan memberi ruang kepada rakyat untuk mengemukakan aduan berkaitan ketirisan kuasa, tender, kontrak dan pelaksanaan projek kerajaan.
Kerajaan juga akan membentangkan Akta Kebebasan Maklumat (FOI), namun memberi jaminan bahawa perkara berkaitan keselamatan negara dan risikan akan diletakkan di bawah pengecualian bagi melindungi kepentingan strategik negara.
Mengulas pencapaian fiskal negara, Anwar memaklumkan nilai ringgit menunjukkan prestasi memberangsangkan, manakala pelaburan bagi sembilan bulan pertama 2025 meningkat kepada RM28.52 bilion, berkembang 13.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Beliau turut menekankan pencapaian indeks daya saing Malaysia melonjak 11 tangga pada 2025, disokong oleh penarafan S&P Global Ratings A- dan Moody’s A3, selain kejayaan penyasaran subsidi RON95 serta pelaksanaan gaji minimum dan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Dalam isu Malaysia Agreement 1963 (MA63), Perdana Menteri menegaskan pelaksanaannya bukan keutamaan sebelah pihak, sebaliknya sebahagian daripada janji sejarah dan perjanjian pembentukan Persekutuan Malaysia yang mesti ditunaikan.
“Tanggapan bahawa kerajaan memberi keutamaan berlebihan kepada Sarawak atau Sabah adalah tidak benar. Ini bukan soal pilih kasih, tetapi soal menunaikan apa yang dijanji sejak era Tunku Abdul Rahman,” katanya.
Beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk meneruskan reformasi institusi dan pembangunan ekonomi secara adil, telus dan bertanggungjawab.










