Anwar Kecam Tindakan AS, Desak Pembebasan Segera Presiden Venezuela

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pembebasan segera Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, dan isterinya, sambil mengutuk penangkapan pasangan itu oleh Amerika Syarikat (AS) sebagai pencabulan jelas undang-undang antarabangsa.

Dalam satu kenyataan, Anwar berkata beliau memandang serius perkembangan di Venezuela dan menyifatkan operasi ketenteraan AS itu sebagai tindakan luar biasa yang menyerupai penggunaan kekerasan secara haram terhadap sebuah negara berdaulat.

Tegasnya, penyingkiran paksa ketua kerajaan yang sedang berkhidmat oleh kuasa luar boleh mewujudkan duluan berbahaya dalam hubungan antarabangsa.

Menurut Anwar, masa depan politik Venezuela seharusnya ditentukan oleh rakyat negara itu sendiri, sambil mengingatkan bahawa campur tangan luar secara kekerasan lazimnya membawa lebih banyak mudarat, khususnya kepada negara yang sedang berdepan tekanan ekonomi dan ketegangan sosial.

Beliau turut menegaskan pendirian Malaysia yang konsisten menghormati kedaulatan negara dan undang-undang antarabangsa, serta menyeru semua pihak mengutamakan dialog dan usaha meredakan ketegangan demi melindungi orang awam.

Terdahulu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan penahanan Maduro dan isterinya dalam satu serbuan, sebelum dibawa ke New York untuk menghadapi pertuduhan pengedaran dadah.

Trump turut mendakwa AS akan meletakkan Venezuela di bawah kawalan sementara, selain tidak menolak kemungkinan menghantar tentera ke negara itu.

Perkembangan tersebut mencetuskan kecaman antarabangsa, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengingatkan semua negara agar menghormati undang-undang antarabangsa dan menyifatkan insiden itu sebagai satu duluan yang berbahaya.

BBerkaitan

Latest articles