KUALA LUMPUR: Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali tampil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan salah guna kuasa dan rasuah yang dilemparkan terhadap beliau oleh aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, yang disifatkan sebagai tidak berasas serta berpotensi menjejaskan kredibiliti institusi pertahanan negara.
Penafian itu dibuat susulan tuduhan Chegubard yang mengaitkan Sabri dengan beberapa dokumen didakwa berkaitan siasatan pihak berkuasa, sekali gus mengheret nama Puspahanas, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Penasihat perundangan Sabri, Mohd Firdaus Jumaludin, berkata semua dakwaan berkenaan bersifat mengelirukan, tidak benar dan merupakan fitnah serius terhadap individu serta institusi strategik negara.
Menurut Mohd Firdaus, sehingga kini Datuk Sabri tidak pernah disabitkan atau didapati bersalah atas sebarang kes rasuah, penyalahgunaan kuasa atau salah laku oleh mana-mana pihak berkuasa yang sah.
Malah, beliau turut menafikan kesahihan dokumen yang didakwa dimiliki dan didedahkan oleh Chegubard, termasuk yang kononnya bersifat sulit atau berasal daripada agensi penguatkuasaan.
Beliau menegaskan, sebarang dokumen yang diperoleh secara tidak sah, dipetik di luar konteks atau dimanipulasi tidak boleh dijadikan asas bagi menyokong tuduhan salah laku.
Katanya, dokumen sedemikian terdedah kepada pengubahsuaian, rekaan atau manipulasi sehingga menimbulkan keraguan terhadap ketulenannya.
Dalam pada itu, Mohd Firdaus memaklumkan Sabri mengekalkan sepenuhnya hak undang-undang untuk mengambil tindakan sivil terhadap mana-mana pihak yang menerbitkan atau menyebarkan kenyataan berunsur fitnah.
Namun, segala jawapan dan penjelasan lanjut hanya akan dibuat melalui saluran rasmi serta mengikut lunas undang-undang, bukan melalui spekulasi atau naratif sensasi.
Beliau turut menggesa Chegubard supaya menghentikan penyebaran dakwaan tidak berasas yang boleh mencemarkan reputasi individu serta menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi keselamatan negara.
Untuk rekod, pada Disember lalu, Chegubard mendakwa Sabri terlibat dalam isu rasuah dengan mendedahkan dokumen yang dikatakan berkaitan kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diterima pertubuhan Pembela Tanah Air (PETA) pada Mei 2024.










