KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa parti itu telah menyertai Perikatan Nasional (PN), termasuk khabar angin yang mengaitkan nama Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai bakal pengerusi gabungan pembangkang tersebut.
Penafian itu dibuat susulan penularan kenyataan media palsu di media sosial selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN.
Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid berkata, parti itu tidak pernah membuat sebarang keputusan politik secara unilateral atau terburu-buru tanpa mengambil kira pandangan rakan strategik yang berkongsi aspirasi dan prinsip perjuangan yang sama.
Menurutnya, dakwaan kononnya Dr Mahathir akan dilantik memimpin mana-mana gabungan politik adalah tidak berasas, malah bekas Perdana Menteri itu tidak pernah dirujuk, dimaklumkan atau memberikan sebarang persetujuan seperti yang didakwa.
Rafique turut menegaskan pendirian Pejuang bahawa perpecahan dalam landskap politik negara hanya akan mencetuskan ketidakstabilan berpanjangan, sekali gus menjejaskan ekonomi dan menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi.
Beliau berkata, Pejuang kekal komited untuk memastikan sebarang keputusan besar dibuat secara berprinsip dan berhemah, bukannya berdasarkan spekulasi atau tekanan politik semasa.
Untuk rekod, Muhyiddin dijadualkan melepaskan jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari ini, susulan krisis politik di Perlis yang menyaksikan jawatan Menteri Besar beralih daripada PAS kepada BERSATU.
Perkembangan itu mencetuskan ketegangan antara PAS dan BERSATU, apabila PAS mengecam kegagalan BERSATU mengambil tindakan disiplin terhadap lima ADUN Perlis yang menarik balik sokongan terhadap bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Dalam pada itu, hubungan politik antara Dr Mahathir dan Muhyiddin sebelum ini turut diwarnai pertikaian terbuka, termasuk tuduhan Mahathir bahawa Muhyiddin menyalahgunakan dana BERSATU serta menyasarkan jawatan Perdana Menteri demi mengelak tindakan undang-undang.
Mahathir, yang merupakan pengasas Pejuang, bagaimanapun meninggalkan parti tersebut pada Disember 2022 selepas Pejuang gagal memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15.










