KANGAR: Krisis politik di Perlis terus berlarutan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun mendakwa wujud individu tertentu yang bertindak sebagai “broker” bagi memujuk wakil rakyat menandatangani Akuan Berkanun (SD) untuk menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Menurut Haziq yang juga Ketua Pemuda PAS Perlis, beliau antara ADUN yang dihubungi dan dijemput untuk menandatangani SD berkenaan, namun memilih untuk tidak terlibat selepas mendapatkan pandangan pimpinan parti.
“Sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh jamaah, prinsip saya jelas iaitu merujuk terlebih dahulu kepada kepimpinan PAS di peringkat pusat dan negeri.
“Selepas mendapatkan nasihat, saya mengambil keputusan untuk tidak hadir kerana jemputan itu tidak dibuat secara rasmi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Bagaimanapun, tiga ADUN PAS dilaporkan menandatangani SD terbabit iaitu Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong) dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini memaklumkan keahlian ketiga-tiga mereka dalam parti telah terhenti.
Selain itu, lima ADUN Bersatu yang didakwa terlibat dalam penandatanganan SD tersebut ialah Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).
Mohd Shukri Ramli meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis pada Khamis lalu selepas hampir tiga tahun menerajui pentadbiran negeri, dengan alasan faktor kesihatan.
Peletakan jawatan itu berlaku susulan tindakan lapan ADUN Perikatan Nasional (PN), termasuk tiga daripada PAS, menarik sokongan terhadap beliau menerusi SD yang diserahkan kepada Raja Perlis minggu lalu.
Penarikan sokongan tersebut dikatakan menjejaskan majoriti mudah Shukri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang dikuasai PN, sekali gus mencetuskan krisis kepimpinan negeri.
Mengulas lanjut, Haziq menyifatkan tindakan menandatangani SD bagi menarik kepercayaan terhadap Menteri Besar tanpa pengetahuan serta kelulusan parti sebagai satu pengkhianatan yang jelas dan tidak wajar dipolemikkan lagi.
“Sekiranya usaha ini dimaklumkan kepada parti sejak awal, saya yakin PAS Pusat tidak akan mengambil tindakan sedemikian,” katanya.
Beliau turut menggesa pihak tertentu agar tidak terus memainkan naratif yang bercanggah dengan keputusan PAS Pusat serta kenyataan rasmi Presiden parti, sambil menegaskan beliau akan terus mempertahankan pendirian selari dengan kepimpinan tertinggi PAS.










