KUALA LUMPUR: Anak sulung Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohammad Nizar Najib mengakui sekeluarganya tidak pernah menjangka bekas Perdana Menteri itu dikenakan hukuman yang begitu berat berkaitan kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Menurut Nizar, hukuman penjara selama 15 tahun serta denda mencecah RM11.38 bilion yang dijatuhkan ke atas bapanya disifatkan amat mengejutkan dan di luar jangkaan keluarga mereka.
“Satu keputusan yang amat mengecewakan. Sedangkan ayahanda banyak berjasa kepada negara dan pada pandangan saya, sumbangan beliau juga wajar diambil kira,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook, malam tadi .
Ketua Pemuda UMNO Pekan itu turut mempersoalkan perkembangan siasatan kes berkenaan apabila dalang utama, Jho Low, masih gagal dikesan, manakala individu yang didakwa bersubahat dengannya pula tampil sebagai saksi pendakwaan.
“Fikirkanlah sendiri. Inilah dilema dan ujian besar yang sedang dihadapi oleh ayahanda Najib Razak,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Nizar menegaskan beliau bersama adik-beradiknya tidak akan berundur daripada usaha membela bapanya sehingga keadilan benar-benar ditegakkan.
Beliau turut mendoakan agar Najib diberikan kekuatan dan ketabahan, selain keluarganya dikurniakan kecekalan untuk menghadapi dugaan tersebut.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada para penyokong Najib serta rakyat Malaysia yang terus menitipkan doa dan sokongan kepada keluarganya.
Pada Jumaat, Mahkamah Tinggi Putrajaya menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas Datuk Seri Najib Razak selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi memperoleh RM2.3 bilion dana 1MDB.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah turut mengenakan denda keseluruhan berjumlah RM11.38 bilion.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara tambahan 10 tahun bagi setiap pertuduhan sekiranya denda gagal dibayar, selain menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap 21 pertuduhan pengubahan wang haram tanpa denda.
Namun, mahkamah menetapkan hukuman penjara 15 tahun itu berjalan serentak selepas Najib selesai menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International.










