KUALA LUMPUR: Kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak akan benar-benar menemui penamat yang adil selagi dalang utama, Low Taek Jho atau Jho Low, gagal dibawa pulang dan dihadapkan ke mahkamah di negara ini, kata bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil.
Menurut Isham, keadilan sebenar dalam kes berprofil tinggi itu hanya akan tercapai apabila semua pihak yang terlibat, khususnya individu yang didakwa sebagai perancang utama, dikenakan tindakan undang-undang.
Jika tidak, katanya, hukuman yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib Razak semata-mata akan terus dilihat sebagai bermotifkan politik dan berunsur dendam.
“Kes ini terlalu besar dan melibatkan ramai pelaku. Namun realitinya, yang dituduh, didakwa, disalahkan dan dihukum hanyalah Datuk Seri Najib seorang, sedangkan penjenayah sebenar masih bebas,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Isham mempersoalkan kegagalan kerajaan membawa pulang Jho Low sehingga hari ini, walaupun isu itu telah berlarutan bertahun-tahun.
Katanya, pelbagai alasan diberikan, namun tiada hasil konkrit, sekali gus menimbulkan persepsi bahawa keadilan tidak ditegakkan secara menyeluruh.
“Dari dulu saya tegaskan, jika benar mahu mencari kebenaran dan keadilan yang sebenar-benarnya, kerajaan mesti bawa balik Jho Low dan dakwa dia di mahkamah. Selagi itu tidak berlaku, kes ini tidak akan pernah tertutup,” tegasnya.
Dalam masa sama, Isham turut menyatakan keyakinan bahawa keputusan mahkamah yang menimpa Najib bukanlah noktah kepada bekas Perdana Menteri itu, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk beliau bangkit semula selepas mengenal pasti siapa rakan dan siapa lawan sebenar dalam perjuangan politik.
“Saya bersama Datuk Seri Najib sejak beliau jatuh ke tahap paling bawah selepas kekalahan PRU-14. Watak beliau, apabila ditekan dan dijatuhkan, dia akan bangkit dan melawan,” katanya.
Beliau mengingatkan bagaimana Najib bangkit semula pasca 2018 sehingga mencetuskan fenomena ‘Bossku’ dan membantu kemenangan dalam beberapa pilihan raya kecil dan negeri, sebelum akhirnya dipenjarakan.
“Selepas beliau masuk penjara, kita lihat UMNO dan Barisan Nasional terus kalah pilihan raya dan akhirnya terpaksa bekerjasama dengan Anwar dan DAP,” katanya lagi.
Isham percaya kali ini Najib tidak akan berdiam diri dan akan terus berjuang, sambil menegaskan bahawa ujian besar sering diberikan kepada individu yang mampu menghadapinya.
“Allah menguji orang yang kuat dengan cabaran besar. Saya yakin, dengan kesabaran dan istiqamah, pertolongan Allah akan datang. Saya percaya Datuk Seri Najib akan bangkit semula,” katanya.










