Najib Tetap Utamakan Negara Walau Sedang Diuji

KUALA LUMPUR: Di sebalik tekanan hebat yang sedang dihadapinya, Datuk Seri Najib Razak disifatkan masih meletakkan kepentingan rakyat dan negara di hadapan, satu pendirian yang wajar dihormati, kata Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri R.S. Thanenthiran.

Beliau berkata, sikap Najib yang menyeru ketenangan dan rasionaliti ketika berdepan situasi sukar mencerminkan jiwa seorang pemimpin yang pernah banyak berjasa kepada pembangunan negara.

“Sebagai seorang individu dan pemimpin yang telah menyumbang besar kepada negara, pendirian beliau ini amat kami hormati. Kami akan terus berdiri teguh bersama beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Najib melalui kenyataan yang dibacakan oleh peguamnya, menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya kekal tenang, berfikiran rasional dan bertindak secara berhemah, selain tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian awam atau mencemar proses perundangan.

Bekas Perdana Menteri itu turut menegaskan bahawa perbezaan pandangan adalah sesuatu yang normal, namun ia perlu disuarakan secara matang, tertib dan selaras dengan lunas undang-undang.

“Saya merayu agar keputusan ini dinilai dengan tenang dan rasional, bukan hanya dari sudut nasib saya sebagai individu, tetapi demi masa depan institusi negara serta prinsip yang kita junjung bersama,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun terhadap Najib selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah turut mengenakan denda berjumlah RM11.38 bilion bagi keempat-empat pertuduhan tersebut.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara tambahan 10 tahun bagi setiap pertuduhan sekiranya denda gagal dibayar.

Selain itu, Najib turut dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi setiap satu daripada 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah dana yang sama, tanpa dikenakan denda.

Mahkamah memutuskan hukuman penjara 15 tahun itu akan berkuat kuasa secara serentak selepas Najib selesai menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International.

BBerkaitan

Latest articles