Kes 1MDB Sarat Emosi, Memecahbelahkan, Rakyat Diingat Tidak Ulang Kesilapan Lama

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai satu episod gelap yang bukan sahaja mengejutkan negara, malah mencetuskan perpecahan serta emosi mendalam dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sebagai antara pengkritik paling lantang kes berprofil tinggi itu, Rafizi menyeru orang ramai supaya berdamai dengan perasaan masing-masing ketika menilai perkembangan terkini kes berkenaan, sambil menegaskan keutamaan sebenar adalah memastikan skandal seumpamanya tidak berulang pada masa hadapan.

“Saya faham setiap pihak mempunyai emosi dan pandangan sendiri. Berdamailah dengan emosi itu. Yang paling penting, jangan kita sesekali membenarkan perkara yang sama berlaku lagi pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan susulan keputusan mahkamah.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun serta denda berjumlah RM11.387 bilion terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selepas beliau disabitkan bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB.

Mengulas lanjut, Rafizi menegaskan rakyat mempunyai hak untuk bersetuju atau tidak bersetuju dengan keputusan serta perkembangan kes berkenaan, namun pandangan tersebut perlu dizahirkan secara berhemah dan tidak melangkaui batas undang-undang.

Beliau turut mengingatkan bahawa apa jua pengakhiran kes itu kelak tidak semestinya mampu mendamaikan pihak-pihak yang bertentangan pandangan, memandangkan kesan emosinya terlalu mendalam dan berpanjangan.

“Apa pun keputusannya, ia tidak akan sepenuhnya mendamaikan semua pihak yang bertembung. Justeru, terpulang kepada setiap individu untuk mencari ketenangan sendiri,” katanya.

Rafizi berkata, hanya dengan sikap rasional dan matang, generasi akan datang dapat mengambil iktibar daripada episod panjang 1MDB, sekali gus memastikan tragedi yang sama tidak berulang dalam sejarah pentadbiran negara.

Dalam pada itu, Najib dijangka mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada Isnin, menandakan proses perundangan kes berkenaan masih belum berakhir.

BBerkaitan

Latest articles