KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mendedahkan bagaimana pengurusan tertinggi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bertindak mengikut arahan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, kerana mereka mempercayai setiap arahan itu sebenarnya datang daripada Datuk Seri Najib Razak ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, adalah sesuatu yang sukar diterima akal sekiranya pengurusan tertinggi 1MDB sanggup melaksanakan arahan berkaitan transaksi melibatkan jumlah dana yang amat besar, kecuali jika mereka benar-benar yakin Jho Low bertindak atas mandat Najib.
Menurut beliau, kepercayaan itulah yang mendorong pengurusan 1MDB mematuhi setiap arahan yang disampaikan oleh Jho Low tanpa banyak persoalan.
“Atau mereka melaksanakan arahan tersebut dengan kepercayaan tulen bahawa ia sebenarnya datang daripada Najib sendiri,” kata Sequerah ketika menyampaikan penghakiman dalam kes 1MDB di sini hari ini.
Sequerah, yang baru-baru ini dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, bagaimanapun bersidang hari ini dalam kapasitinya sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.
Beliau turut menegaskan bahawa hubungan antara Najib dan Jho Low bukan sekadar kebetulan, malah disokong dengan bukti termasuk gambar percutian yang menunjukkan keakraban kedua-duanya.
Menurut beliau lagi, keterangan saksi pendakwaan mendedahkan e-mel, perbincangan serta arahan Jho Low menjadi elemen penting dalam aliran kerja operasi 1MDB.
Arahan tersebut kemudiannya membawa kepada pelaksanaan transaksi utama, termasuk usaha sama dengan PetroSaudi, pemerolehan aset tenaga serta pengurusan dana syarikat berkenaan.
Mahkamah kemudiannya ditangguhkan bagi solat Jumaat dan dijadualkan bersambung semula pada jam 3 petang, selepas Sequerah memaklumkan beliau memerlukan sekurang-kurangnya satu setengah jam lagi untuk menamatkan pembacaan penghakiman penuh.
Najib, 72, didakwa pada 2018 atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram, dengan perbicaraan bermula pada tahun berikutnya.
Bekas Perdana Menteri itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB antara Februari 2011 hingga Disember 2014 melalui akaun di AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan dan Bukit Ceylon.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dituduh melakukan kesalahan di bank yang sama antara Mac hingga Ogos 2013.
Pertuduhan salah guna kuasa dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Sementara itu, pertuduhan pengubahan wang haram difailkan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan, yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Mahkamah sebelum ini mengarahkan Najib membela diri terhadap semua pertuduhan berkenaan pada 30 Oktober 2024 selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Selain kes 1MDB dan kes SRC International yang telah diputuskan pada 2022, Najib turut pernah berdepan tiga lagi kes rasuah berprofil tinggi, namun dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) bagi dua kes dan dibebaskan sepenuhnya bagi satu pertuduhan lain.










