PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memanggil beberapa individu beragama Islam yang dipercayai terbabit dalam program dikenali sebagai ‘Interfaith Water Ceremony’ bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung penglibatan mereka dalam aktiviti tersebut.
Langkah itu diambil susulan tular satu hantaran di Facebook yang mendakwa wujud unsur dakyah sesat apabila beberapa individu Islam didakwa terlibat dalam program berkenaan yang turut memaparkan upacara doa bersama pemimpin agama lain.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, siasatan awal mendapati individu terlibat bukan pegawai jabatan berkenaan, namun penjelasan menyeluruh perlu dibuat bagi memastikan fakta sebenar tidak disalah tafsir.
Menurut beliau, Jakim turut mengadakan pertemuan dengan pemilik akaun Facebook yang membuat hantaran tersebut bagi mendapatkan maklumat terperinci dan memastikan penelitian dilakukan secara adil serta berimbang.
Tegasnya, Jakim kekal komited dalam memelihara kesucian akidah umat Islam dan menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan agar membuat laporan rasmi kepada polis atau pihak berkuasa agama Islam negeri bagi tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sebelum ini menjelaskan kandungan yang dipetik dalam hantaran berkenaan sebenarnya merujuk kepada satu program yang berlangsung kira-kira tujuh tahun lalu di sebuah hotel di Seberang Jaya.
Program tersebut, menurut JHEAIPP, pernah dilaporkan secara rasmi dan diliputi media tempatan pada tahun sama, dengan fokus liputan terhadap sambutan serta pengiktirafan pasangan berkahwin daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama.










