KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir pemimpin DAP yang didakwa memperlekeh dan mempersendakan institusi Perlembagaan, termasuk titah diraja serta proses kehakiman, disifatkan sebagai sesuatu yang amat membimbangkan dan berpotensi mengancam asas demokrasi negara.
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, kecenderungan meraikan penahanan atau memuji sabitan seseorang, khususnya apabila dipacu sentimen permusuhan peribadi, seolah-olah menjadikan keputusan kehakiman sebagai papan skor politik untuk diraikan.
Menurut beliau, reaksi sedemikian jelas tersasar daripada konteks sebenar permohonan tahanan rumah yang berpunca daripada satu Proklamasi Diraja, yang dibuat melalui saluran dan proses Perlembagaan yang sah.
“Apabila penolakan permohonan itu diraikan sebagai kemenangan politik, sama ada disedari atau tidak, ia membawa maksud memperkecilkan satu titah diraja,” katanya memetik MalaysiaGazette.
Vigneswaran menegaskan, isu yang dibawa ke mahkamah bukan soal pertandingan personaliti atau sentimen politik, sebaliknya melibatkan implikasi undang-undang terhadap titah Yang di-Pertuan Agong yang perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab dan kewarasan.
Bagaimanapun, beliau berkata reaksi beberapa pemimpin DAP memberi gambaran seolah-olah keputusan mahkamah tersebut bermaksud titah Seri Paduka Baginda telah ‘ditolak’ atau ‘diatasi’, satu tanggapan yang disifatkannya sebagai tidak tepat dan berbahaya dari sudut Perlembagaan.
Menurut Vigneswaran, Yang di-Pertuan Agong bertindak sepenuhnya dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan selepas melalui rundingan sewajarnya, dan penghormatan terhadap institusi diraja seharusnya dizahirkan dengan mematuhi kerangka tersebut, bukan melalui ejekan, sindiran atau kemarahan terpilih.
Ironinya, katanya, tindakan itu datang daripada parti politik yang sering melaungkan perjuangan sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja atau 3R, namun gagal menunjukkan kepekaan apabila keputusan kehakiman dilihat selari dengan sentimen politik mereka.
“Demokrasi yang matang menuntut maruah, keinsafan dan rasa hormat terhadap institusi negara. Tangkapan, sabitan atau kegagalan sesuatu permohonan undang-undang bukan bahan hiburan awam atau sumber keseronokan,” katanya.
Beliau menegaskan, apabila keadilan dijadikan bahan hiburan dan institusi negara dipersendakan, maruah sistem akan terhakis dan demokrasi berisiko berubah menjadi sekadar sandiwara politik.










