KUALA LUMPUR: Selepas polemik berpanjangan membabitkan Titah Adendum dan hukuman penjara Datuk Seri Najib Razak, seorang pemimpin DAP tampil mencadangkan supaya satu perbincangan serius dimulakan mengenai kemungkinan pengampunan penuh terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, berkata Najib telah pun menerima hukuman dan menjalani lebih tiga tahun pemenjaraan sejak Ogos 2022, justeru beliau berpandangan sudah tiba masanya semua pihak menghentikan budaya ‘meraikan’ keputusan mahkamah atau menambah luka terhadap individu yang telah dihukum.
Dalam hantaran di Facebook hari ini, Ong menyatakan perbincangan itu wajar dipertimbangkan berasaskan pertimbangan kemanusiaan serta kematangan politik, sambil mencadangkan agar ia dimulakan pada tahun baharu 2026.
Beliau turut mengakui pendiriannya berhubung isu tersebut telah berubah.
Jika pada 2023 beliau menyifatkan pengampunan penuh terhadap Najib sebagai satu garis merah bagi DAP, situasi politik semasa menyebabkan beliau kini menilai semula pendirian itu.
Menurut Ong, perkembangan termasuk keputusan mahkamah memberikan pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA) kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menjadikan konsep ‘garis merah’ itu semakin kabur dan wajar dibincangkan secara terbuka.
Mengulas keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak pelaksanaan Titah Adendum, Ong menegaskan keputusan tersebut selari dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan kerana perkara itu tidak dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan, dan oleh itu perlu dihormati sebagai proses undang-undang.
Dalam kenyataan sama, beliau menjelaskan bahawa cadangan perbincangan mengenai pengampunan penuh tidak bermaksud melupakan kesalahan lampau Najib, sebaliknya dilihat sebagai sebahagian daripada usaha ke arah pendamaian politik dan kematangan demokrasi negara.
“Dalam semangat Krismas, pendekatan kemaafan tanpa melupakan kesalahan silam wajar dipertimbangkan demi matlamat perdamaian serta masa depan Malaysia yang lebih stabil,” katanya.










