PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak supaya menangani kontroversi berkaitan Titah Adendum melibatkan Datuk Seri Najib Razak dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan, tanpa mengeruhkan suasana atau menambah ketegangan dalam keadaan yang sensitif.
Dalam kenyataan hari ini, Anwar menegaskan bahawa walaupun terdapat pihak yang memilih untuk tidak menzahirkan simpati terhadap Najib dan keluarganya, sikap tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mencetuskan suasana tidak harmoni.
Menurut beliau, keutamaan ketika ini adalah menjaga ketenteraman awam serta menghormati proses perundangan yang sedang berjalan.
Beliau turut menegaskan pendirian Kerajaan MADANI yang kekal berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan pengasingan kuasa.
Katanya, badan kehakiman mesti terus bebas daripada sebarang pengaruh luar, dan atas prinsip itu kerajaan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh hakim.
“Semua pihak wajar menghormati keputusan mahkamah, termasuk menggunakan ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia, di samping mengemukakan permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya lagi.
Semalam, isu Titah Adendum membabitkan Najib mencetuskan polemik dalam kalangan pimpinan UMNO susulan kenyataan beberapa pemimpin DAP di media sosial, yang dikatakan menambah ketegangan suasana politik.
Pada hari yang sama, Mahkamah menolak rayuan Najib untuk mendapatkan perintah tahanan rumah berkaitan Titah Adendum, menyebabkan bekas Perdana Menteri itu meneruskan baki hukumannya di Penjara Kajang.
Perdana Menteri menekankan bahawa perbezaan pandangan perlu dizahirkan secara berhemah dan berlandaskan undang-undang, tanpa menafikan sensitiviti keluarga terlibat serta kepentingan kestabilan negara.










