UMNO Selangor Bidas Sindiran DAP, Ingatkan Pemimpin Terkait Rasuah

SHAH ALAM: DAP didakwa cuba mengalihkan perhatian daripada penolakan rakyat terhadap parti itu dengan memilih pendekatan publisiti murahan melalui kenyataan bersifat sindiran yang berpotensi meracun pemikiran masyarakat.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim berkata, tindakan pemimpin DAP mengulas isu pihak lain ketika parti itu sendiri berdepan cabaran jelas memperlihatkan sikap hipokrit serta kegagalan menunjukkan empati sebagai pemimpin dalam sebuah negara berbilang kaum.

Menurut beliau yang juga Ketua Bahagian UMNO Petaling Jaya, kenyataan dimuat naik Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini menjadi contoh paling ketara sikap berkenaan.

“Melalui hantaran di Facebook, beliau menulis ‘Antara yang perlu diraikan menjelang hujung tahun’ sambil memaparkan keputusan mahkamah yang menolak permohonan semakan kehakiman difailkan Najib Razak. Nada sindiran itu seolah-olah meraikan musibah orang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Mutalif menegaskan, tindakan sedemikian bukan sahaja tidak sensitif, malah bercanggah dengan nilai empati dan keharmonian yang sering dilaungkan oleh DAP.

Katanya, kenyataan berunsur provokasi berpotensi merosakkan hubungan antara kaum, menyemai kebencian serta mencetuskan perbalahan yang akhirnya menggugat perpaduan negara.

Beliau turut mengingatkan bahawa UMNO tidak pernah mengambil kesempatan atas kelemahan parti lain, termasuk ketika DAP gagal memenangi sebarang kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum ini.

“Ketika itu, UMNO tidak meniup sentimen kebencian atau mencetuskan polemik. Sebaliknya, kami memberi ruang kepada DAP untuk memperbaiki kelemahan dan mendapatkan semula kepercayaan rakyat,” ujarnya.

Namun, katanya, sikap yang ditunjukkan DAP kini dilihat berbeza apabila didakwa gemar memanipulasi kesusahan pihak lain demi kepentingan politik sempit.

Dalam masa sama, beliau menegaskan rakyat semakin matang menilai tingkah laku sebenar pemimpin dan tidak mudah terpengaruh dengan permainan persepsi.

“Politik matang bukan dengan meraikan kejatuhan orang lain, sebaliknya menghormati proses undang-undang serta menjaga keharmonian masyarakat. Jangan berlagak bersih dan suci, sedangkan parti sendiri masih berdepan isu melibatkan kepimpinan tertinggi,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles