KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman beliau bagi memaksa kerajaan melaksanakan Titah Adendum, termasuk membenarkan baki hukuman penjara dijalani melalui tahanan rumah.
Perkara itu disahkan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan titah berkenaan tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.
Menurut Shafee, pihaknya akan membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan dan seterusnya Mahkamah Persekutuan, sambil menyatakan anak guamnya kecewa kerana titah berkenaan dikatakan dibuat sejak Januari 2024 tetapi masih belum dilaksanakan.
Beliau turut memaklumkan kemungkinan memohon pengampunan baharu daripada Yang di-Pertuan Agong, selain meneroka saluran lain termasuk parol di bawah peruntukan Akta Penjara.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib selepas berpuas hati isu tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan, selain memutuskan Titah Adendum yang didakwa wujud itu tidak mempunyai kesan perundangan.
Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas disabitkan bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, dengan tarikh pembebasan dijadualkan pada Ogos 2028 susulan pengurangan hukuman oleh Lembaga Pengampunan.










