KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan kerajaan berjaya menjimatkan kira-kira RM800 juta setakat ini hasil pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON96 atau BUDI95, yang bertujuan memperkemas pemberian subsidi bahan api secara bersasar.
Menurut beliau, penjimatan besar itu tidak disimpan begitu sahaja, sebaliknya disalurkan kembali kepada rakyat menerusi program bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain digunakan untuk memperkukuh kesejahteraan awam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dana hasil penjimatan BUDI95 turut dimanfaatkan bagi menaik taraf klinik dan hospital kerajaan, membaiki jalan raya serta memperkukuhkan prasarana asas di seluruh negara demi keselesaan dan keselamatan rakyat.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, beliau menjelaskan langkah berani Kerajaan MADANI itu diambil bagi memastikan subsidi minyak hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia, dan tidak lagi ‘bocor’ kepada lebih 3.5 juta warga asing atau diseleweng serta diseludup ke luar negara dalam jumlah besar.
Mengulas lanjut, Anwar berkata isu penyasaran subsidi minyak sebenarnya telah dibincangkan sejak lebih dua dekad lalu oleh kerajaan terdahulu, namun tiada pentadbiran sebelum ini yang benar-benar mempunyai keberanian politik dan tekad untuk melaksanakannya secara menyeluruh.










