Rombakan Kabinet: Asyraf Ingatkan Jangan Pandang Remeh Sentimen Rakyat Di Media Sosial

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, mengingatkan bahawa pelbagai sentimen yang tercetus di media sosial susulan pengumuman rombakan Kabinet perlu ditangani secara berhemah dan tidak wajar dipandang ringan.

Menurut beliau, antara isu yang paling banyak diperkatakan netizen ialah pelantikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli.

Pelantikan itu, katanya, mencetuskan reaksi bercampur-campur berikutan kaitan nama Marhamah dengan beberapa kontroversi, termasuk isu kematian pelajar yang dipercayai akibat dibuli, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Selain itu, Asyraf Wajdi berkata, sentimen dalam talian turut menyentuh dakwaan berkaitan hutang penipuan skim emas berjumlah RM14 juta serta persoalan mengenai amalan doa dan ibadah yang dikaitkan dengan Marhamah.

Beliau turut memaklumkan bahawa rakyat juga membangkitkan persoalan berhubung pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang kedua-duanya diwakili kaum Cina daripada DAP dan Gabungan Rakyat Sabah.

Situasi itu, katanya, menimbulkan tanda tanya sama ada ia berkait dengan kemungkinan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan pada masa hadapan.

Tidak kurang juga, ujar beliau, sentimen terhadap pelantikan aktivis PKR, Adam Adli Abdul Halim, sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Netizen mempersoalkan sama ada tokoh yang sebelum ini lantang menuntut pemansuhan PTPTN ketika era Barisan Nasional mampu merealisasikan agenda tersebut.

“Ini hanyalah sebahagian daripada sentimen kuat yang berlegar di ruang media sosial sejak pengumuman rombakan Kabinet semalam. Semua ini perlu ditangani secara bijaksana,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut berkongsi gambaran komposisi kaum dan parti dalam barisan Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, daripada segi menteri, seramai 17 orang Melayu dilantik, diikuti Cina (lima), India (dua), Bumiputera Sarawak (lima) dan Bumiputera Sabah (tiga).

Bagi jawatan timbalan menteri pula, pelantikan melibatkan 10 Melayu, Cina (lima), India (dua), Bumiputera Sarawak (tujuh) dan Bumiputera Sabah (enam).

Dari sudut gabungan parti, Kabinet menyaksikan penyertaan sembilan menteri daripada PKR, lima DAP, dua Parti Amanah Negara, lapan BN, lima Gabungan Parti Sarawak dan seorang daripada GRS.

BBerkaitan

Latest articles