KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura hari ini menegaskan semula pendirian tegas kedua-dua negara terhadap pengedaran dadah menerusi kerjasama lebih mendalam bagi menangani ancaman narkotik serantau.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berada di sini bagi menghadiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12 menegaskan bahawa apabila rakyat Malaysia berdepan prosiding undang-undang di luar negara, termasuk di Singapura, Malaysia sentiasa menghormati proses undang-undang yang dijalankan dan kebebasan kehakiman negara berkenaan.
Beliau berkata, Malaysia tetap tegas dalam pendiriannya menentang kesalahan dadah walaupun negara telah meminda undang-undang berkaitan hukuman mati mandatori.
“Ancaman dadah ialah satu masalah di Malaysia. Kami secara tradisinya mengambil pendirian yang sangat tegas, walaupun kami telah meminda isu hukuman mati mandatori,” katanya pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari Singapura Lawrence Wong selepas acara itu hari ini.
Anwar berkata, sebarang representasi oleh Malaysia dalam kes sedemikian adalah semata-mata untuk menyampaikan kebimbangan keluarga yang terjejas dan tidak boleh disalah anggap sebagai toleransi terhadap kesalahan dadah.
“Saya tidak boleh memberikan sebarang petunjuk bahawa kami bertolak ansur atau membenarkan perdagangan dadah. Kami juga mengambil pendirian yang sangat tegas terhadap isu ini,” katanya.
Wong, sementara itu, mengulangi pendekatan tegas Singapura terhadap jenayah berkaitan dadah.
Beliau berkata dasar antidadah Singapura bertujuan untuk memastikan persekitaran yang selamat di mana keluarga dan kanak-kanak kekal dilindungi daripada bahaya dan akibat sosial dadah.
“Kami berharap semua negara memahami rasional pendirian kami yang kukuh dan menghormati cara kami menjalankan dasar kami dalam bidang ini,” tambahnya.
Anwar dan Wong mengesahkan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama dua hala, termasuk di bawah rangka kerja sedia ada yang bertujuan memerangi pengedaran dadah rentas sempadan dan rangkaian jenayah berkaitan.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU), termasuk “MoU mengenai Kerjasama Membanteras Pemerdagangan Haram Dadah Narkotik, Bahan Psikotropika, Analognya dan Bahan Kimia Prekursor” antara Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri Singapura.
Dalam lawatan kerja sehari itu, Anwar diiringi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi turut serta dalam delegasi rasmi. – Bernama










