Takiyuddin Rayu Prosiding Adil, Kerajaan Setuju Tangguh Usul Gantung

KUALA LUMPUR: Usul untuk menggantung Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, ditangguhkan selepas kerajaan memutuskan untuk membawa perkara itu ke sesi Dewan Rakyat akan datang. Keputusan itu diumumkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah, yang berkata penangguhan dibuat setelah meneliti hujah wakil rakyat kerajaan dan pembangkang berhubung kenyataan Takiyuddin yang mengaitkan latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan peristiwa Memali.

Terdahulu, suasana dewan menjadi tegang apabila empat Ahli Parlimen iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Takiyuddin sendiri, Syahredzan Johan (PH-Bangi) dan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berbahas mengenai usul untuk menggantung Takiyuddin selama enam bulan.

Takiyuddin, yang juga ketua whip Perikatan Nasional (PN), memohon supaya usul itu dipinda dan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi membolehkannya diberi peluang mempertahankan diri.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, kemudian memaklumkan bahawa pengundian usul tersebut ditangguhkan dan terpulang kepada kerajaan untuk menentukan langkah seterusnya pada persidangan akan datang.

Usul asal dibentangkan susulan kenyataan Takiyuddin ketika perbahasan Belanjawan 2026 pada 22 Oktober lalu, apabila beliau menyamakan operasi APMM di Masjid Rusila, Marang dengan insiden Memali pada 1985 disifatkan satu kenyataan yang didakwa bertujuan menakut-nakutkan rakyat.

BBerkaitan

Latest articles