KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan membawa isu melibatkan FELDA dan FGV Holdings Berhad di Terengganu ke mesyuarat Kabinet esok bagi memastikan tindakan segera dapat diambil.
Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), berkata beliau menunggu laporan penuh serta cadangan resolusi daripada mesyuarat Lembaga Pengarah kedua-dua entiti itu yang sedang berlangsung hari ini.
Menurutnya, hasil perbincangan FELDA dan FGV akan menjadi asas kepada pembentangan dalam Jemaah Menteri bagi menentukan langkah penyelesaian awal oleh kerajaan Persekutuan.
“Saya akan bawa perkara ini ke Kabinet esok untuk kita putuskan tindakan segera yang perlu,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KKDW.
FELDA dan FGV sebelum ini memaklumkan mereka sedang melakukan semakan menyeluruh terhadap semua dokumen berkaitan susulan notis amaran pendudukan secara tidak sah yang dikeluarkan Kerajaan Terengganu terhadap beberapa lot ladang di enam daerah pada 30 November hingga 2 Disember lalu.
Semakan termasuklah rekod pembayaran, premium tanah, status hak milik serta syarat pembangunan ladang.
Namun, kedua-duanya menegaskan notis tersebut tidak menjejaskan operasi ladang atau kehidupan peneroka.
Mengulas pertanyaan mengenai kemungkinan pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Zahid berkata perbincangan tersebut belum berlangsung tetapi perlu dilakukan dalam masa terdekat.
Beliau yakin isu itu boleh diselesaikan melalui rundingan tanpa perlu melibatkan tindakan undang-undang.
“Biasanya kita selesaikan melalui Majlis Tanah Negara atau perbincangan antara Menteri Besar dan Ketua Menteri. Walaupun negeri itu tidak sealiran dengan Putrajaya, semuanya boleh dirunding,” katanya.










