KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, hari ini menghadapi empat pertuduhan rasuah bernilai keseluruhan RM176,829.03 di Mahkamah Sesyen di sini, melibatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Shamsul, 51, yang hadir memakai baju batik cerah dan berseluar hitam, mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Dalam nada tenang, beliau hanya menjawab: “Faham puan, tidak mengaku bersalah, mohon bicara.”
Menurut pertuduhan pertama, Shamsul selaku ejen kerajaan didakwa bersetuju menerima suapan RM100,000 daripada ahli perniagaan terkenal, Tei Jiann Cheing atau Albert Tei sebagai dorongan membantu syarikat berkaitan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Kesalahan itu didakwa berlaku di kawasan parkir YTL Majestic Hotel, Jalan Sultan Hishamuddin pada 24 November 2023.
Pertuduhan kedua pula mendakwa beliau menerima RM40,000 daripada individu sama, juga sebagai suapan, di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya pada 29 Januari 2024.
Selain dua transaksi wang tunai, Shamsul turut dituduh menerima barangan lain bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 berupa kelengkapan perabot serta barangan elektrik.
Dua pertuduhan tersebut dikatakan berlaku antara 7 Disember 2023 hingga 31 Januari 2024 di Bukit Bandaraya, serta antara 26 Februari hingga 5 Mac 2024 di Presint 14, Putrajaya.
Semua tuduhan adalah di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Kes akan diteruskan untuk perbicaraan selepas tertuduh mengaku tidak bersalah.










