KOTA KINABALU: Kekalahan besar Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 terus mengundang gelombang tidak puas hati di peringkat negeri apabila Setiausaha Bersatu Sabah, Yunus Nurdin, tampil mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sebagai presiden parti dan pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Beliau menyifatkan keputusan PRN sebagai suatu ‘kejutan memalukan’ apabila Bersatu gagal memenangi walau satu kerusi, manakala PN hanya mampu meraih satu kerusi melalui calon PAS.
Menurut Yunus, kegagalan itu berpunca daripada kepimpinan pusat yang didakwa tidak mengurus pergolakan dalaman dengan baik serta gagal menyediakan sokongan asas seperti dana, bahan kempen dan latihan jentera sebelum pilihan raya.
Yunus menegaskan mesej pengundi sangat jelas bahawa Bersatu memerlukan perubahan radikal dan kepimpinan baharu yang lebih memahami realiti politik Sabah.
Katanya, proses pembaharuan parti mesti bermula di peringkat paling tinggi dan bukan sekadar kosmetik.
“Ini bukan soal peribadi, tetapi masa depan parti,” ujarnya sambil menyeru Muhyiddin melepaskan kedua-dua jawatan utama dalam Bersatu dan PN.
Ketegangan dalaman Bersatu bukan perkara baharu, malah sebelum ini Muhyiddin turut berdepan desakan menyerahkan kepimpinan kepada timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, menjelang PRU16, ditambah pula dengan suara dari PAS yang pernah mencadangkan parti itu menerajui PN.










