KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menjalankan siasatan berhubung dakwaan kewujudan alat ganti motosikal jenis disc brake yang didakwa memaparkan lambang lucah, selepas satu video mengenainya tular di media sosial.
Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengenal pasti pihak yang mengeluarkan produk berkenaan, yang disifatkan bertentangan dengan tatasusila masyarakat Malaysia.
“JAWI menasihati pengeluar dan pengguna agar tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang lucah pada produk atau barangan harian,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Kontroversi itu tercetus selepas seorang pengguna Facebook, Shinji Nagato, memuat naik rakaman menunjukkan brek motor yang didakwa dihiasi lakaran menyerupai kemaluan lelaki.
Bagaimanapun, lokasi pengeluaran produk tersebut tidak dinyatakan.
Video itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang meminta JAWI dan pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan tegas terhadap pengeluar barangan berunsur lucah yang kini semakin bercambah di pasaran.










