KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyatakan rasa kesal terhadap tindakan seorang graduan yang bertindak di luar etika ketika berlangsungnya Istiadat Konvokesyen universiti itu, baru-baru ini.
Dalam kenyataan rasmi, UiTM menegaskan perbuatan tersebut jelas melanggar protokol istiadat yang wajib dipatuhi oleh setiap graduan sepanjang majlis berlangsung.
UiTM menjelaskan bahawa disiplin dan tatacara konvokesyen telah diterangkan dengan jelas melalui taklimat wajib oleh Bahagian Pengurusan Rekod Pelajar dan Konvokesyen (BPRPK) ketika pengambilan jubah.
Graduan juga diingatkan untuk menjaga adab sejak perarakan di luar dewan sehingga pemulangan jubah sebagai simbol penghormatan terhadap perjalanan ilmu mereka di universiti.
Insiden itu tercetus selepas satu video tular memaparkan seorang graduan lelaki meminta Pro Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, untuk “memandang kamera” ketika mengurniakan ijazah.
Tindakan tersebut mengundang kecaman ramai, sekali gus mencetuskan perbincangan hangat di media sosial.
UiTM berharap semua graduan yang bakal menghadiri sidang konvokesyen seterusnya mematuhi etika dan menghormati istiadat rasmi universiti.










