KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi tampil membidas kenyataan Pengarah Pilihan Raya PAS bagi PRN Sabah, Tan Sri Annuar Musa, yang mendakwa semakin ramai rakyat negeri itu meninggalkan Barisan Nasional (BN).
Sebaliknya, Puad menegaskan realiti politik di Sabah menunjukkan Perikatan Nasional (PN) yang semakin hilang sokongan sehingga diibaratkan sudah “meninggal” di negeri berkenaan.
Menurut Puad, banyak bekas ahli dan penyokong PN kini memilih untuk menjauhkan diri daripada gabungan itu, sekali gus menafikan dakwaan Annuar bahawa BN semakin dipinggirkan.
“Apabila ADUN UMNO lompat ke Bersatu/PN, UMNO tidak pun ‘meninggal’. Tetapi bila ADUN asal UMNO keluar Bersatu dan tubuhkan GRS, bukankah PN yang ‘meninggal’?” katanya.
Puad turut menceritakan insiden pertemuannya dengan Annuar semasa bersarapan di sebuah hotel, di mana Annuar mendakwa rakyat Sabah semakin menjauhi BN ketika berkempen di Karambunai.
Namun, Puad mempersoalkan dakwaan itu dan menyifatkannya tidak berasas, lebih-lebih lagi apabila isu setempat yang dibangkitkan Annuar termasuk masalah bekalan elektrik turut gagal ditangani oleh wakil PAS sendiri di kawasan terbabit.
Dalam nada sinis, Puad mengingatkan Annuar bahawa beliau pernah memegang jawatan Menteri Luar Bandar dari 1993 hingga 1999, namun tempoh tersebut tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk membawa pembangunan asas di kawasan seperti Karambunai.
“Annuar kata dia baru faham bila anak muda Sabah cakap BN bukan macam dulu. Sebenarnya, Annuarlah yang ‘sekali air bah, dia pun ikut berubah’. Dari dulu, kini dan selamanya… tiada pendirian,” sindir Puad.










