KINABATANGAN: Keyakinan rakyat Lamag terhadap kepimpinan Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin semakin terserlah sepanjang siri kempen di kawasan itu, kata ADUN Jeram Padang, Dato’ Mohd Zaidy Abdul Kadir.
Menurutnya, setiap sesi libat urus bersama penduduk menunjukkan sokongan jelas masyarakat yang mahu Bung Moktar terus dikekalkan sebagai wakil rakyat Lamag.
Zaidy berkata, antara kisah yang menyentuh perasaannya ialah pertemuan dengan Junaidi Ahmad Sultan, anak jati Lamag yang kini melanjutkan pengajian Sarjana Perancangan Bandar di Universiti Malaya dengan tajaan pendidikan daripada Bung Moktar.
Beliau menyifatkan bantuan itu sebagai bukti nyata komitmen pemimpin tersebut dalam membuka peluang pendidikan tinggi kepada anak muda kawasan berkenaan.
“Apabila pemimpin melabur pada pendidikan, mereka sebenarnya sedang melabur pada masa depan masyarakat,” katanya.
Zaidy turut mengakui bahawa generasi muda bawah 40 tahun kini memegang peranan besar dalam kepimpinan komuniti di Lamag, hasil sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh Bung Moktar untuk mereka tampil memimpin dan berkhidmat.
Beliau berkata kepimpinan seperti ini diperlukan kerana ia bukan hanya memerhati dari jauh, tetapi turut turun membina masa depan masyarakat secara bersama.
Sehubungan itu, Zaidy percaya rakyat Lamag wajar mengekalkan Bung Moktar sebagai ADUN, memandangkan rekod beliau dalam memperjuangkan pendidikan, kebajikan dan pembangunan anak muda Sabah seiring aspirasi serta Manifesto Barisan Nasional Sabah.
“Jika kita mahu masa depan Lamag terus maju, pilihlah pemimpin yang sudah membuktikan kerja nyatanya,” katanya.










