KUALA LUMPUR: Menjelang kedatangan Ramadan, isu berkaitan halal kembali menjadi perhatian, terutama selepas beberapa kontroversi termasuk jualan sandwic ham di sebuah rangkaian kedai serbaneka tular baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menegaskan bahawa tuntutan halal bukan sekadar hukum, tetapi kewajipan agama yang perlu difahami secara menyeluruh.
Menurut beliau, konsep halal merangkumi dua prinsip utama seperti yang disebut dalam al-Quran iaitu halal dan tayyibah.
“Makanan bukan hanya perlu halal, tetapi juga mesti baik dan bersih. Halal dan tayyib itu satu gabungan yang membentuk cara hidup selamat, sihat dan berakhlak,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Islam sebagai agama rahmah bukan hanya memberi manfaat kepada umat Islam, malah membawa kebaikan sejagat kepada manusia dan alam.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon pula tidak menolak kemungkinan terdapat pihak tertentu yang sengaja “menghangatkan” isu halal ketika Ramadan demi kepentingan politik atau retorik agama.
“Ketika bulan yang sensitif seperti Ramadan, isu kecil mudah diperbesarkan,” katanya.
Namun, menurut Dhaliff Anuar, Pengurus Kanan di Halal Development Corporation (HDC), kesedaran awam kini semakin baik dan manipulasi isu agama dilihat semakin berkurangan.
“Ramadan memang bulan penuh peluang untuk industri buffet. Tapi kebanyakan hotel kini sedar mereka tak boleh mempromosi buffet Ramadan tanpa sijil halal,” jelasnya.
Dhaliff turut menekankan bahawa halal bukan hanya untuk Muslim sahaja, tetapi nilai dan amalannya bersifat universal.
“Halal memang keperluan agama bagi Muslim, tetapi ia tidak pun menjejaskan kepercayaan agama lain. Ia hanya menjadi isu apabila makanan itu disediakan untuk pengguna Muslim,” katanya.
Namun masih ramai pengusaha hotel dan restoran yang menawarkan buffet Ramadan tanpa Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), walaupun tindakan itu menyalahi Akta Perihal Dagangan 2011 apabila mendakwa makanan “halal” tanpa pengesahan rasmi.
Menurut jurulatih halal, Ahmad Aminurrashid Abdul Aziz, sesetengah premis memandang proses pensijilan halal sebagai rumit dan mahal.
“Ada yang elak mohon sijil kerana kos, ada pula yang langsung tidak tahu ia satu keperluan penting ketika Ramadan,” katanya.
Beliau mencadangkan tiga langkah penyelesaian iaitu pemeriksaan lebih ketat oleh pihak berkuasa, pendidikan berterusan kepada pengguna, dan garis panduan pensijilan halal yang lebih mudah diakses dan difahami oleh pengusaha.
Presiden Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, pula mengingatkan bahawa budaya menikmati buffet mewah dan berlebih-lebihan tidak mencerminkan semangat Ramadan.
“Bukan budaya Islam menyediakan makanan berlebihan sehingga berlaku pembaziran,” tegasnya.
Beliau menambah, Ramadan sepatutnya menjadi masa untuk merasai kesusahan golongan miskin, memperbanyakkan ibadah, serta memastikan segala yang dimakan benar-benar halal tanpa keraguan.
“Jika ada syak pada status halal, lebih baik dielakkan. Apa yang kita makan akan menjadi darah daging kita,” katanya.
Seiring Ramadan yang bakal tiba, para pemimpin agama dan pakar industri halal sepakat mengingatkan umat Islam agar kembali menitikberatkan perkara asas dengan memilih makanan yang halal, bersih dan bebas was-was demi menjaga keberkatan ibadah sepanjang bulan mulia ini.










