ISKANDAR PUTERI: Misteri kehilangan pakaian dalam penduduk Taman Mutiara Rini akhirnya terjawab selepas polis menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki mencuri puluhan pakaian dalam dari dua kawasan perumahan berbeza.
Kejadian itu terbongkar selepas seorang lelaki berusia 50 tahun membuat laporan pada 13 November lalu apabila pakaian dalam miliknya dan isterinya yang dijemur di rumah lesap tanpa jejak.
Bertindak atas laporan itu, polis melakukan siasatan sebelum menahan seorang suspek berusia 31 tahun di Gelang Patah pada Ahad kira-kira jam 6.30 petang.
Pemeriksaan ke atas suspek menemukan 52 pasang bra pelbagai jenama, 12 seluar dalam wanita, dua seluar dalam lelaki dan sebatang penyangkut hijau yang dipercayai digunakan dalam kegiatan mencuri.
Polis mengesahkan semua barang itu disyaki dicuri dari rumah-rumah di sekitar Mutiara Rini dan Gelang Patah.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan, berkata penahanan tersebut sekali gus menyelesaikan empat kes kecurian pakaian dalam yang dilaporkan di kawasan berkenaan.
Suspek kini direman empat hari sehingga 20 November untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.










