‘Supercar’ Remuk Bertembung Bas, Pemandu Maut Di Tempat Kejadian

MELAKA: Seorang lelaki berusia 26 tahun maut selepas kereta jenis supercar Toyota GR yang dipandunya dipercayai bertembung dengan sebuah bas henti-henti di Jalan Krubong–Sungai Badau, pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng, Mohd Norsyah Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.40 pagi sebelum sebuah jentera bersama enam anggota digerakkan ke lokasi. Pasukan penyelamat tiba hanya tujuh minit kemudian.

Menurutnya, kedua-dua pemandu lelaki berusia 34 tahun yang mengendalikan bas, serta pemandu Toyota GR ditemui tersepit di bahagian tempat duduk masing-masing akibat impak kuat perlanggaran.

“Anggota bomba berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa. Pemandu bas mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan,” katanya.

Bagaimanapun, pemandu supercar terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.57 pagi.

BBerkaitan

Latest articles