KOTA KINABALU: Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan keputusan kerajaan Persekutuan untuk tidak merayu terhadap hak pemberian khas 40 peratus kepada Sabah sebagai satu pengiktirafan penting terhadap kedudukan negeri itu dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, pengesahan yang dibuat menerusi kenyataan media Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 11 November itu membuktikan komitmen kerajaan untuk menghormati hak Sabah seperti yang termaktub di bawah Perkara 112C Perlembagaan dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Keputusan ini membuka lembaran baharu kepada Sabah, iaitu satu fasa rundingan yang lebih jelas, teratur dan berasaskan asas undang-undang yang telah disahkan oleh mahkamah,” katanya dalam kenyataan di media sosial Facebooknya.
Salleh turut menjelaskan bahawa kerajaan Persekutuan hanya akan memfailkan rayuan terhad (partial appeal) terhadap beberapa dapatan teknikal dalam alasan penghakiman Mahkamah Tinggi, khususnya berkaitan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan ketidakaturan prosedur sejak tahun 1974.
“Rayuan ini tidak melibatkan hak 40 peratus yang dijamin kepada Sabah, sebaliknya bertujuan memperjelas rekod perundangan agar kedudukan undang-undang lebih mantap,” jelas beliau.
Beliau berkata, keputusan untuk tidak merayu terhadap hak pemberian khas itu sekaligus menandakan kesediaan Putrajaya memulakan rundingan rasmi dengan kerajaan negeri Sabah dalam masa terdekat.
“Keutamaan kini ialah memastikan rundingan dijalankan secara profesional, telus dan berpaksikan kepentingan rakyat Sabah supaya hasilnya benar-benar memberi manfaat jangka panjang kepada negeri serta generasi akan datang,” tambahnya.










