RTM Mohon Maaf Silap Sebut Nama Pemimpin Indonesia, Singapura

KUALA LUMPUR: Malaysia menzahirkan permohonan maaf rasmi kepada Indonesia dan Singapura susulan kekeliruan penyampai Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang tersilap menyebut nama pemimpin dua negara itu ketika siaran langsung Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, berkata permohonan maaf berkenaan telah disampaikan secara bersemuka kepada delegasi Indonesia serta Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, semalam.

Menurut beliau, kedua-dua negara jiran itu menerima penjelasan dengan baik dan memahami bahawa insiden tersebut berlaku tanpa sebarang niat buruk.

“Kami telah menyatakan kekesalan atas kekhilafan itu dan mereka menerima permohonan maaf kita dengan terbuka. Hubungan akrab antara Malaysia, Singapura dan Indonesia tetap utuh,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Antarabangsa Media dan Komunikasi 2025 (MENTION2025) di Tun Razak Exchange (TRX), hari ini.

Dalam insiden yang menjadi tumpuan itu, penyampai RTM tersilap menyebut Lee Hsien Loong sebagai Perdana Menteri Singapura, sedangkan jawatan berkenaan kini disandang Lawrence Wong.

Kesilapan sama turut berlaku apabila Joko Widodo disebut sebagai Presiden Indonesia, walhal negara itu kini dipimpin Prabowo Subianto.

Suhaimi menegaskan RTM mengambil serius kejadian tersebut dan telah memulakan siasatan dalaman bagi meneliti punca serta memastikan prosedur semakan fakta diperketat pada masa hadapan.

“Kami akan menambah baik proses editorial dan kawalan kualiti siaran agar kesilapan seperti ini tidak berulang,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa hubungan baik Malaysia dengan kedua-dua negara kekal harmoni, malah wakil Singapura menzahirkan penghargaan terhadap keikhlasan RTM dan menegaskan “Malaysia dan Singapura adalah dua rakan karib dengan pertalian yang kukuh.”

BBerkaitan

Latest articles