Fasilitator Didakwa Cabul Kanak-Kanak 12 Tahun, Mahkamah Tolak Jaminan

GEORGE TOWN: Seorang fasilitator sambilan sebuah akademi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tiga pertuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun, awal bulan ini.

Tertuduh, Mohamad Firdaus Abdul Shukor, 33, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Berdasarkan kertas pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di Kem White Resort, Kampung Genting, antara jam 4.09 hingga 4.30 pagi pada 12 Oktober lalu.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKKSTKK) yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani hadir mewakili pihak pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret kemudiannya memutuskan tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen, dan menetapkan 28 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula bagi urusan jaminan dan lantikan peguam.

Sebelum ini, media melaporkan suspek ditahan pada 15 Oktober lalu selepas disyaki mencabul empat murid lelaki berusia 12 tahun di sebuah pusat latihan di daerah Barat Daya.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, kejadian berlaku di bilik asrama lelaki pusat latihan berkenaan sekitar jam 4.30 pagi, 12 Oktober lalu.

“Suspek ditahan di rumahnya di Sungai Petani, Kedah sehari selepas laporan dibuat oleh guru besar sekolah mangsa di Balai Polis Bagan Serai, Perak,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles