KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan kes pembunuhan pelajar perempuan Tingkatan Empat di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, dilakukan secara menyeluruh, telus dan adil.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata kes itu kini dalam siasatan pihak polis, dan KPM akan memberikan kerjasama penuh kepada semua agensi terlibat.
“Suspek telah ditahan dan proses siasatan berjalan. KPM komited memastikan keadilan ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan menghadapi tragedi tersebut.
Fadhlina memaklumkan, pasukan kaunselor serta Guru Bimbingan dan Kaunseling telah dihantar ke sekolah bagi melaksanakan intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru serta seluruh warga sekolah.
Langkah itu diambil bagi mengelakkan trauma dan memastikan kesejahteraan emosi semua yang terkesan.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi, mangsa dipercayai ditikam oleh pelajar lelaki Tingkatan Dua di kawasan tandas sekolah.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, berkata seorang guru yang berada berhampiran mendengar jeritan mangsa dan bergegas ke lokasi, namun mangsa telah ditikam sebelum bantuan tiba.
“Siasatan awal mendapati terdapat beberapa kesan tikaman pada badan mangsa,” katanya pada sidang media di lokasi.
Polis turut merampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan suspek dalam serangan itu.
“Jenis senjata akan disahkan kemudian,” katanya sambil menambah bahawa motif kejadian sedang disiasat.