Pengawal Keselamatan, Teman Lelaki Tak Mengaku Salah Amang Seksual Murid Tahun 3

SEREMBAN: Seorang pengawal keselamatan wanita dan teman lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap murid perempuan Tahun 3 di sebuah sekolah di Rembau, minggu lalu.

Tertuduh, Nor Aleeya Suhadah Mohamad, 22, dan Muahmad Mohd Mohtar, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim N. Kanageswari.

Menurut kertas pertuduhan, pasangan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa berusia sembilan tahun di dalam tandas perempuan sekolah antara jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi pada 7 Oktober lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni, manakala Nor Aleeya diwakili peguam Norfazrin Jamal. Muahmad tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwa mencadangkan jaminan RM30,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin serta beberapa syarat tambahan.

Namun, peguam bela merayu agar jumlah jaminan Nor Aleeya dikurangkan kepada RM10,000, dengan alasan pendapatan tertuduh hanya RM1,600 sebulan dan perlu menyara ibu bapa serta empat adik yang masih bersekolah.

Selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mengekalkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 November ini.

BBerkaitan

Latest articles