KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan bahawa sekolah seharusnya menjadi lokasi paling selamat buat kanak-kanak, khususnya ketika isu keselamatan semakin membimbangkan.
Beliau berkata, tanggungjawab memastikan keselamatan pelajar bukan hanya terletak pada pihak sekolah, sebaliknya perlu dipikul bersama oleh ibu bapa, komuniti dan agensi kerajaan.
“Sekolah sepatutnya kawasan paling selamat untuk anak-anak. Jika ia tidak lagi selamat, apa akan jadi kepada masyarakat kita? Semua pihak perlu memainkan peranan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kasih Fun Run KPWKM di Dataran DBKL, hari ini.
Beliau mengulas insiden tragis seorang pelajar Tingkatan Tiga di Melaka yang didakwa dirogol bergilir-gilir oleh dua pelajar senior, malah kejadian kejam itu turut dirakam dan disaksikan dua pelajar lain di dalam sebuah kelas di Alor Gajah minggu lalu.
Menurut Nancy, kementeriannya telah menghantar pegawai pelindung untuk bertemu keluarga mangsa di hospital serta menyediakan khidmat kaunseling bagi menyokong mangsa dan ahli keluarga yang trauma.
“Jika keluarga perlukan bantuan lanjut, kami sedia membantu kerana mereka tidak menyangka perkara sebegini boleh berlaku,” ujarnya.
Beliau turut mengakui kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak di sekolah semakin meningkat, menggambarkan keresahan masyarakat apabila institusi pendidikan tidak lagi dilihat sebagai tempat perlindungan.
Nancy menjelaskan, KPWKM melalui pelbagai agensi sentiasa melaksanakan program berteraskan keluarga dan keibubapaan, namun penglibatan golongan sasaran masih rendah.
Justeru, beliau menegaskan keperluan kerjasama erat antara komuniti, ibu bapa, Kementerian Pendidikan serta agensi keselamatan bagi memperkukuh perlindungan pelajar di sekolah seluruh negara.