Belanjawan 2026: Sabah & Sarawak Terima Peruntukan Tertinggi Dalam Sejarah

KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak menerima peruntukan terbesar dalam sejarah negara menerusi Belanjawan 2026, menunjukkan komitmen kerajaan MADANI untuk memperkasa pembangunan di dua wilayah itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata Sabah diperuntukkan RM6.9 bilion, manakala Sarawak menerima RM6 bilion.

Selain itu, pemberian khas di bawah semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut ditingkatkan kepada RM600 juta.

“Ini membuktikan kerajaan memberi penekanan besar terhadap pembangunan Sabah dan Sarawak melalui pelaburan strategik dalam sektor tenaga, air, jalan raya dan digitalisasi,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Parlimen, hari ini.

Fadillah menegaskan, Belanjawan 2026 menekankan tadbir urus kewangan yang telus, berhemah dan berasaskan tanggungjawab fiskal, seiring penekanan Perdana Menteri terhadap aspek integriti dan keprihatinan rakyat.

Katanya, setiap penjimatan akan dipulangkan semula kepada rakyat, dengan matlamat menyeimbangkan kestabilan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan keyakinan pelabur.

“Inilah asas keyakinan ekonomi negara. Kita melindungi rakyat hari ini, membina masa depan mapan dan akhirnya mencipta kemakmuran,” katanya.

Belanjawan 2026 turut menerapkan konsep kemampanan dan ketahanan, termasuk RM2.2 bilion untuk 43 projek tebatan banjir (12 projek baharu), RM292 juta bagi pemuliharaan sungai & sistem pengurusan air lebih mampan, RM1.9 bilion memperkukuh grid penghantaran elektrik Sabah, termasuk subsidi tarif, subsidi bahan api dan projek Southern Link dan RM28.6 juta untuk kesiapsiagaan infrastruktur & tadbir urus tenaga nuklear.

Fadillah turut mengumumkan pelaksanaan agresif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dengan sasaran 70% kapasiti penjanaan elektrik daripada tenaga boleh baharu menjelang 2054.

Sasaran itu dapat direalisasikan menerusi Dana Peralihan Tenaga Negara: RM150 juta, Program LSS 6 (solar berskala besar) dengan kapasiti hampir 2GW, selain anggaran pelaburan swasta sebanyak RM6 bilion.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menegaskan, kerajaan mahu memastikan setiap keluarga mempunyai ruang membina semula kehidupan, dan belanjawan ini direka untuk memperkukuh daya tahan ekonomi negara secara menyeluruh.

“Belanjawan ini bukan hanya tentang angka, tetapi tentang masa depan rakyat Sabah, Sarawak dan seluruh Malaysia,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles