KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM470 bilion bagi Belanjawan 2026, meningkat berbanding RM452 bilion pada tahun sebelumnya, sekali gus menjadi peruntukan tertinggi negara setakat ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan belanjawan di Dewan Rakyat hari ini berkata, daripada jumlah tersebut:
• RM338.2 bilion diperuntukkan bagi belanja mengurus (OE)
• RM81 bilion bagi belanja pembangunan (DE)
• RM30 bilion untuk pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLIC)
• RM10 bilion pelaburan awam-swasta
• RM10 bilion pelaburan oleh Badan Berkanun Persekutuan dan MOF Inc
Anwar menjelaskan, pertumbuhan ekonomi 2026 diunjur antara 4.0 hingga 4.5 peratus, lebih rendah berbanding sebelum ini, susulan ketidaktentuan ekonomi global serta konflik geopolitik dan geoekonomi.
Kerajaan komited untuk menurunkan defisit fiskal kepada 3.5% pada 2026.
Beliau turut menegaskan bahawa trend hutang baharu negara semakin mengecil:
• RM100 bilion (2022)
• RM92 bilion (2023)
• RM77 bilion (2024)
• Sekitar RM77 bilion (2025)
“Dengan disiplin yang berterusan, defisit 3 peratus mampu dicapai dalam jangka sederhana,” katanya.
Bagi tahun 2026, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dijangka mencecah RM343.1 bilion, meningkat berbanding unjuran RM334.1 bilion pada tahun ini.