JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga Bangladesh direman selama lima hari bermula semalam, selepas dipercayai bertindak memotong kemaluan teman lelakinya akibat cemburu, dalam satu kejadian di Kampung Lokan, Gelang Patah, dekat sini pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP M Kumarasan berkata, suspek ditahan pada 12.15 tengah hari semalam, selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun pada 10.45 pagi.
Beliau berkata, laporan dibuat selepas lelaki itu mendapati kenalannya, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 33 tahun, mengalami kecederaan serius pada bahagian kemaluan dan tangan kiri akibat dipotong oleh suspek yang berusia 34 tahun.
“Hasil siasatan mendapati kejadian bermotifkan cemburu, apabila suspek mengetahui mangsa masih belum menceraikan isterinya di negara Bangladesh setelah menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih dengan suspek,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, hasil tangkapan turut membawa kepada rampasan sebilah pisau berukuran 29 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif dadah manakala mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, kerana menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen kerana masuk dan tinggal tanpa permit sah. – Bernama