MELAKA: Polis mengesahkan pemilik pacuan empat roda Isuzu yang tular kerana memaparkan pelekat bertulisan Hebrew bukan cuba menyebar mesej pro-Israel, sebaliknya hanya peminat tulisan antarabangsa.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata lelaki berusia 59 tahun itu adalah pesara kerajaan dari Gemencheh, Negeri Sembilan, dan telah menggunakan pelekat itu sejak 2012.
“Tulisan Hebrew itu berbunyi ‘Malizia Beiteinu’ bermaksud ‘Malaysia rumahku’. Ia diubah daripada frasa ‘Israel Beiteinu’ sebagai tanda cintakan tanah air,” katanya.
Menurut polis, pemilik kenderaan meminati tulisan Greek, Rusia dan Hebrew, dan menempah pelekat itu di Selangor 13 tahun lalu tanpa pernah menimbulkan isu sebelum ini.
Namun ia mula disalah tafsir oleh netizen selepas video 14 saat memaparkan kenderaan tersebut tular pada 7 Oktober, dengan ada yang mendakwa ia bermaksud “Malaysia milik kami”.
Walaupun pemilik menafikan niat pro-Israel, polis tetap meneruskan siasatan dan akan mendapatkan pandangan pakar bahasa bagi mengesahkan maksud sebenar tulisan tersebut.
Setakat ini, tiada arahan dikeluarkan untuk menanggalkan pelekat, namun polis menegaskan mereka tidak menerima bulat-bulat penjelasan suspek.
Kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” tegas Dzulkhairi.