KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia bersedia menggunakan pendekatan diplomatik secara menyeluruh, termasuk melibatkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, jika langkah itu mampu membantu meredakan konflik kemanusiaan di Gaza.
Anwar berkata, tumpuan utama Malaysia ketika ini adalah memastikan keamanan di wilayah bergolak itu tercapai, dan usaha tersebut memerlukan keberanian untuk berdialog dengan semua pihak termasuk yang tidak sehaluan.
“Apa yang saya dan rakan-rakan mahu adalah damai-damai di Gaza, merdekakan mereka. Saya bukan nak menyerah, saya nak runding,” katanya ketika berucap pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.
Menjelaskan pendirian itu, Anwar turut mengaitkan pendekatan diplomasi berani tersebut dengan langkah Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, yang memilih jalan rundingan bersama pihak penjajah British demi mencapai kemerdekaan Tanah Melayu.
“Rundingan diplomatik itu penting, kerana matlamat kita adalah kemerdekaan, bukan tunduk, tapi merdeka dengan maruah,” ujar beliau.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa keputusan menjemput Trump menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dibuat secara sebulat suara oleh semua 10 pemimpin ASEAN, bukannya keputusan unilateral Malaysia.
Zahid turut menegaskan, kehadiran Trump ke Malaysia tidak akan mengubah pendirian tegas kerajaan dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.
Dilaporkan, Trump melalui perbualan telefon dengan Anwar minggu lalu telah mengesahkan kehadirannya ke sidang kemuncak yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Sidang tersebut dijangka turut menghimpunkan pemimpin dunia dari China, India, Australia, Kanada, Brazil, Afrika Selatan, Jepun, Korea Selatan dan negara-negara anggota ASEAN.
Malaysia sebelum ini konsisten menyuarakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan menolak sebarang bentuk kekejaman rejim Zionis.
Anwar menegaskan bahawa sebarang langkah diplomatik yang diambil tetap berpaksikan prinsip keadilan dan kemanusiaan sejagat, tanpa menjejaskan pendirian teguh Malaysia terhadap isu Palestin.