KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia mempertimbangkan cadangan untuk melancarkan gelombang kedua misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, kali ini melalui sempadan Rafah di Mesir.
Anwar berkata, beliau akan berusaha menjalin rundingan diplomatik dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dari Malaysia disalurkan terus ke Gaza menerusi jalan darat.
“Kita sudah cuba memecah kepungan (sekatan Israel) melalui lautan, dan kini ada cadangan baharu melalui sempadan Rafah yang wajar diberi pertimbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.
Anwar turut memaklumkan pertemuan akan diadakan minggu depan selepas pembentangan Belanjawan 2026, bagi membincangkan strategi pelaksanaan misi baharu itu.
“Isnin dan Selasa depan, selepas Belanjawan, saya akan panggil Datuk Dr Sany Araby Abdul Alim Araby dan Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman bersama rakan-rakan lain untuk kita bincang langkah seterusnya ke Mesir dan misi pecah tembok Rafah,” katanya.
Sebelum itu, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Dr Sany Araby, dalam ucapannya memohon agar kerajaan memberi kebenaran untuk menggerakkan gelombang kedua misi kemanusiaan melalui laluan darat Mesir.
“Kami tahu Perdana Menteri mempunyai hubungan baik dengan Presiden Mesir dan boleh memainkan peranan besar di peringkat antarabangsa. Kami mohon diberi laluan untuk menggerakkan gelombang kedua, Insya-Allah kami bersedia,” katanya.
Beliau turut menyeru Anwar agar terus menjadi tonggak utama perjuangan Palestin, dan secara simbolik mencadangkan agar Perdana Menteri menyandang peranan sebagai “Chief de Mission” bagi misi kemanusiaan akan datang.
“Kami mahu Perdana Menteri sendiri memimpin usaha membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel serta membina semula Gaza,” katanya.
Misi Global Sumud Flotilla (GSF) sebelum ini yang disertai aktivis dari seluruh dunia, termasuk 23 rakyat Malaysia, berdepan tindakan agresif tentera Israel di perairan antarabangsa ketika menuju ke Gaza.
Susulan insiden itu, kerajaan Malaysia menyatakan komitmen untuk terus membantu rakyat Palestin melalui pendekatan diplomasi dan kemanusiaan.