Anwar Bangga Keberanian Wira GSF, Tempelak Pihak Perlekeh Misi ke Gaza

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa bangga dan penghargaan terhadap keberanian 23 wira serta wirawati negara yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, yang disifatkannya sebagai lambang keberanian luar biasa rakyat Malaysia.

Anwar berkata, penyertaan mereka dalam misi berisiko tinggi itu membuktikan bahawa perjuangan menegakkan keadilan untuk rakyat Palestin bukan sekadar retorik, sebaliknya dizahirkan melalui tindakan dan pengorbanan sebenar di lapangan.

“Mereka telah mencipta sejarah buat negara. Ini bukan perjuangan di meja rundingan, tetapi keberanian sebenar berjuang demi keadilan untuk Gaza,” katanya ketika berucap pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.

Dalam ucapannya yang mendapat sorakan lebih 10,000 hadirin, Anwar turut menempelak pihak yang memperlekehkan usaha para aktivis misi berkenaan, sedangkan mereka mempertaruhkan nyawa demi kemanusiaan.

“Manusia jenis apa kamu ini? Kamu tak berani pergi, sepatutnya doakan mereka, bukan hina. Orang yang sanggup bangkit dan berjuang, sekurang-kurangnya kita tabik dan doakan, itu yang serendah-rendah mampu kita lakukan,” tegas beliau disambut tepukan gemuruh hadirin.

Anwar turut mengakui pada awalnya beliau bimbang soal keselamatan aktivis, namun tetap menghormati tekad serta keazaman mereka dan menggunakan pengaruh diplomatik yang ada bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Himpunan malam tadi turut meraikan kepulangan 23 aktivis Malaysia yang baru pulang daripada misi GSF, selain menyatakan sokongan terhadap sembilan lagi rakyat Malaysia yang kini masih ditahan oleh rejim Zionis Israel selepas kapal mereka dipintas di perairan antarabangsa pagi tadi.

Perdana Menteri berkata, misi GSF bukan sahaja berjaya menyatukan solidariti rakyat Malaysia, malah menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap isu kemanusiaan di Gaza.

“Pelayaran ini menggemparkan dunia. Kini seluruh dunia membicarakan tentang keberanian mereka malah ada yang sudah meminta agar mereka mengatur misi seterusnya,” katanya.

Menurut Anwar, kejayaan GSF memberi kesan lebih besar daripada ratusan mesyuarat dan resolusi antarabangsa yang selama ini gagal membawa penyelesaian konkrit kepada penderitaan rakyat Palestin.

BBerkaitan

Latest articles