Individu, Syarikat Korporat Rugi Hampir RM1 Bilion Jadi Mangsa Skim Pelaburan Palsu

KUALA LUMPUR: Sekretariat Tindakan MaPeR, mewakili mangsa skim pelaburan palsu menuntut tindakan tegas terhadap dalang sindiket yang didakwa menyebabkan kerugian mencecah hampir RM1 bilion.

Pengerusinya, Shah Abdul Malek, mendedahkan penipuan tersebut dipercayai melibatkan ratusan individu, syarikat korporat, serta beberapa agensi kerajaan.

Beliau berkata antara mangsa termasuk seorang usahawan dari United Kingdom (UK) yang dilaporkan melabur hampir RM60 juta.

“Modus operandi sindiket ini sangat licik. Ejen mereka menyamar sebagai kakitangan bank ternama seperti AmBank dan Alliance Bank, serta menawarkan pelaburan runcit yang kononnya diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan dijamin insurans,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dari kiri Mohan Munisamy, Shah Abd Malek (chaiman MAPER), Lee Rodger Meiklejohn, Lee Chee Keong dan Ramaroa A A/L Appalanaidu

Berdasarkan rekod beberapa agensi kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Kedah, Melaka dan Perlis, termasuk Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim di Pulau Pinang serta sebuah institut penyelidikan Islam dipercayai turut menjadi mangsa skim penipuan sama.

Menurutnya, sindiket turut memperdaya pelabur dengan mendakwa beberapa tokoh korporat bergelar Tan Sri terlibat sebagai ahli lembaga pengarah dan pemegang saham syarikat pelaburan berkenaan.

“Saya memiliki senarai lebih 300 pelabur yang terkesan, termasuk pelaburan milik syarikat-syarikat besar.

“Apa yang ramai tidak tahu, syarikat tersebut sebenarnya tidak menjalankan sebarang aktiviti perniagaan sah. Wang pelaburan disalur ke poket peribadi individu berkenaan semata-mata,” katanya.

Sementara itu, mangsa seorang warga United Kingdom, Lee Meiklejohn, berkata dia menjadi mangsa kegiatan penipuan Datuk Wira berkenaan antara Oktober 2010 dan April 2011.

Menurutnya laporan polis dan serahan dokumen lengkap telah dibuat namun tiada tindakan konkrit diambil sehingga kini.

“Kami hanya mahu keadilan. Jangan biar lebih ramai jadi mangsa. Kepada mangsa lain, saya gesa agar tampil beri kerjasama dan dedahkan penipuan ini agar wang pelaburan yang hilang boleh dipulihkan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles