Fahmi Hadiah Telefon Bimbit Kepada Sukarelawan GSF Sebagai Penghargaan

KUALA LUMPUR: Sebagai tanda penghargaan kepada 23 sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyumbangkan telefon bimbit baharu kepada mereka yang terlibat.

Fahmi berkata sumbangan tersebut bertujuan memudahkan komunikasi dan urusan peribadi sebaik kembali ke tanah air, selain membantu sukarelawan terus berkongsi pengalaman dan maklumat misi melalui saluran komunikasi digital dengan lebih efisien.

Beliau berkata sumbangan kecil itu adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerana mewakili rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan GSF, serta memberikan informasi sepanjang berada di atas kapal.

“Usaha dan semangat para sukarelawan misi GSF amat dihargai kerajaan,” katanya.

Selain Fahmi, ketibaan kumpulan sukarelawan itu disambut Menteri Luar Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar serta wakil agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta ahli keluarga.

Penerbangan Emirates EK342 yang membawa semua 27 sukarelawan Malaysia termasuk empat orang dari kapal pemerhati serta lima peguam mendarat pada 10.07 malam tadi.

Pada 2 Okt, tentera Israel telah memintas semua 42 kapal misi kemanusiaan GSF ke Gaza dan menahan 495 aktivis termasuk 23 aktivis Malaysia, yang kemudian dibebaskan secara berperingkat bermula 4 Okt.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menggantikan telefon bimbit kepada 23 sukarelawan GSF yang terpaksa dibuang ke laut mengikut prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang dilatih sebelum pelayaran.

SOP tersebut adalah langkah berjaga-jaga sekiranya kapal ditahan tentera Israel dengan semua delegasi telah menerima taklimat dan latihan praktikal sebelum memulakan misi kemanusiaan mereka.

BBerkaitan

Latest articles