Kapal FFCxTMTG Dipintas Tentera Israel, Lapan Warga Malaysia Antara Terlibat

KUALA LUMPUR: Kesemua sembilan kapal yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) dilaporkan telah dipintas oleh tentera Israel pada kira-kira 10.50 pagi waktu Malaysia hari ini.

Menurut kenyataan daripada Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), pintasan itu berlaku ketika kesemua kapal terbabit berada di perairan antarabangsa berhampiran Gaza, ketika mereka sedang dalam perjalanan membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin yang terperangkap dalam sekatan berpanjangan rejim Zionis.

“MyCARE mengesahkan bahawa seramai lapan delegasi Malaysia berada di atas kapal utama flotila, Conscience, yang turut membawa aktivis antarabangsa, doktor, ahli parlimen, wartawan dan sukarelawan dari seluruh dunia,” menurut kenyataan itu.

Misi flotila berkenaan, yang dikenali sebagai Freedom Flotilla Coalition X Thousand Madleens To Gaza (FFCxTMTGM), sebelum ini dijadualkan memasuki zon merah berhampiran Gaza sekitar jam 5 petang waktu Malaysia, namun dipintas lebih awal oleh pasukan tentera laut Israel.

Kapal Conscience merupakan kapal terbesar dalam konvoi tersebut dan menjadi antara kapal utama yang mengetuai misi kemanusiaan kali ini.

Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi mengenai nasib semua peserta misi selepas insiden pintasan itu, namun MyCARE memaklumkan bahawa pihaknya sedang berhubung rapat dengan rakan kerjasama antarabangsa serta Kementerian Luar Negeri Malaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut dan memastikan keselamatan semua delegasi.

Misi FFCxTMTGM disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara, dengan matlamat menembusi sekatan laut Israel ke atas Gaza bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan serta menyampaikan mesej solidariti dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin.

Pihak MyCARE turut menzahirkan kebimbangan terhadap keselamatan semua aktivis yang berada di atas kapal, termasuk rakyat Malaysia, dan menyeru masyarakat untuk terus berdoa serta menunjukkan solidariti kepada mereka yang mempertaruhkan nyawa demi misi kemanusiaan tersebut.

BBerkaitan

Latest articles