MELAKA: Sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu yang tular kerana memaparkan pelekat bertulisan Hebrew (bahasa rasmi Israel) dengan maksud “Malaysia di tangan kami” disahkan didaftarkan atas nama seorang lelaki beralamat di Gemencheh, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata siasatan dijalankan selepas polis menerima laporan mengenai penularan video berdurasi 14 saat yang memaparkan kenderaan berkenaan di media sosial semalam.
“Laporan diterima di Balai Polis Merlimau pada jam 3.32 petang semalam oleh pegawai khas agama kepada Ketua Menteri Melaka. Siasatan awal mendapati pelekat yang dimuat naik di platform Threads itu bertulisan Hebrew dan membawa maksud ‘Malaysia adalah rumah kita’ atau ‘Malaysia di tangan kami’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM) atas penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan telekomunikasi yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.
“Polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penyebaran video tersebut. Siasatan akan dijalankan secara telus bagi memastikan keharmonian dan keselamatan masyarakat terus terpelihara,” tegas beliau.
Petang semalam, Pegawai Khas Agama kepada Ketua Menteri Melaka, Hairul Amin Madon, yang membuat laporan polis berhubung perkara itu, menggesa tindakan segera diambil terhadap pemandu kenderaan terbabit.
Menurutnya, tindakan memasang pelekat yang memaparkan simbol dan tulisan berkaitan Israel dianggap tidak sensitif terhadap perasaan umat Islam, khususnya ketika dunia sedang menyaksikan kekejaman berterusan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Video berkenaan yang tular di media sosial memaparkan kenderaan pikap berwarna kelabu dengan pelekat biru bertulisan putih iaitu warna yang menyerupai bendera Israel, dipercayai dirakam di sekitar Melaka.
Insiden itu mencetuskan kemarahan netizen yang menyifatkannya sebagai cubaan provokasi terhadap sensitiviti rakyat Malaysia, terutama dalam situasi konflik Palestin-Israel yang masih membara.