MOTAC Akur Teguran PM, Jamin Insiden Hidang Arak Di Majlis Rasmi Tidak Berulang

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menegaskan komitmen untuk memastikan insiden arak dihidangkan dalam majlis makan malam rasmi kementerian itu tidak akan berulang pada masa hadapan.

Dalam kenyataan tegas hari ini, MOTAC berkata pihaknya memandang serius teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung majlis yang tular baru-baru ini dan akan memperketat pelaksanaan garis panduan serta etika dalam setiap program anjuran kementerian.

“MOTAC menerima teguran YAB Perdana Menteri dengan penuh rasa tanggungjawab dan takzim. Kementerian amat kesal atas sebarang kekeliruan yang menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Kementerian turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas teguran dan nasihat membina yang disifatkan sebagai panduan penting dalam memperkukuh integriti serta imej kementerian di mata rakyat.

“MOTAC akan terus menambah baik setiap aspek pelaksanaan program bagi memastikan semua urusan kementerian berjalan selaras dengan dasar kerajaan serta nilai budaya negara,” jelas kenyataan itu.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan amaran keras kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta seluruh kementerian agar memastikan kesilapan seperti itu tidak berulang.

Perdana Menteri menegaskan, penjelasan bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas acara rasmi tamat adalah tidak boleh diterima kerana dasar kerajaan melarang sama sekali penghidangan arak dalam mana-mana majlis rasmi kerajaan.

Insiden itu mencetuskan kecaman awam selepas rakaman majlis berkenaan tular di media sosial, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap tatakelola penganjuran acara rasmi kementerian.

BBerkaitan

Latest articles