Selepas Guru, Kekasih Pula Direman Kes Rogol Pelajar Tingkatan 2

BALIK PULAU: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes rogol melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang juga kekasihnya.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Chia Huey Ting bermula hari ini hingga 10 Oktober bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Terdahulu, suspek yang berpakaian baju sejuk berhud hitam tiba di Mahkamah Balik Pulau sekitar jam 8.15 pagi, diiringi beberapa anggota polis.

Menurut sumber, suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan ditahan di rumahnya di Batu Kawan kira-kira jam 6.30 petang semalam, selepas polis menjalankan siasatan lanjut berdasarkan laporan yang dibuat oleh mangsa.

Siasatan kes ini dikatakan berpunca daripada laporan awal mangsa yang mendakwa dirinya dirogol oleh seorang guru sekolah menengah berusia 32 tahun.

Guru berkenaan sebelum ini telah direman selama empat hari bermula Jumaat lalu, namun dibebaskan dengan jaminan polis hari ini selepas keterangan dan bukti dikumpul.

Difahamkan, polis kini telah melengkapkan kertas siasatan terhadap guru berkenaan untuk dirujuk kepada pihak pendakwa raya bagi tindakan lanjut.

Menurut laporan terdahulu, mangsa mendakwa telah dirogol guru tersebut di tempat letak kereta terbuka sebuah kompleks beli-belah di Persiaran Bayan Indah, November tahun lalu.

Guru itu kemudian menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya selepas laporan dibuat oleh pelajar berkenaan yang menuntut di sekolah sama.

BBerkaitan

Latest articles