TEL AVIV: Aktivis alam sekitar terkenal Sweden, Greta Thunberg, antara lebih 70 aktivis antarabangsa yang ditahan rejim Israel ketika menyertai Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini.
Ratusan peserta dari pelbagai negara dilaporkan berada di atas 45 kapal flotila yang berhasrat menembusi sekatan laut Israel bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza.
Namun, misi itu digagalkan apabila tentera Israel memintas kapal-kapal tersebut di perairan antarabangsa sejak Rabu lalu, sebelum menahan lebih 400 aktivis dan ahli politik dari seluruh dunia.
Menurut laporan AFP, kebanyakan aktivis yang dibebaskan kini sedang diterbangkan ke Greece, manakala sebahagian lagi masih berada dalam tahanan Israel.
Antara yang dijadualkan berlepas dari Israel hari ini termasuk 28 warga Perancis, 27 warga Greece, 15 warga Itali dan sembilan warga Sweden, sementara 21 warga Sepanyol sudah tiba di negara asal mereka semalam.
Bagaimanapun, 28 lagi warga Sepanyol masih ditahan dan menunggu keputusan proses pengusiran oleh pihak berkuasa Israel.
Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, berkata 15 rakyat Itali yang dibebaskan akan menerima bantuan konsular selepas tiba di Athens sebelum pulang ke negara masing-masing.
Kementerian Luar Perancis turut mengesahkan 28 warganya akan diterbangkan ke Greece, manakala Sweden memaklumkan sembilan rakyatnya dijangka meninggalkan Israel hari ini.
Beberapa aktivis yang dibebaskan mendakwa mereka dilayan secara kasar dan mengaibkan oleh tentera Israel semasa dalam tahanan.
Seorang wartawan Itali, Saverio Tommasi, mendedahkan beliau dipukul di bahagian kepala dan belakang, malah menggambarkan layanan yang diterima sebagai “seperti monyet tua dalam sarkas tahun 1920-an.”
Sementara itu, seorang warga Sepanyol, Rafael Borrego, memberitahu media bahawa tahanan mengalami penderaan fizikal dan mental berulang kali, termasuk dipaksa baring di atas tanah dan ditendang oleh askar Israel.
Misi Global Sumud Flotilla disertai lebih 400 aktivis dari 45 negara, termasuk selebriti, ahli politik dan sukarelawan kemanusiaan.
Mereka berlayar dari Mediterranean dengan misi menamatkan sekatan Israel ke atas Gaza wilayah yang kini berdepan krisis kemanusiaan terburuk akibat peperangan berlarutan.